Tuesday, August 18, 2009

90% REZEKI DATANG DARI BERNIAGA

Pekasam Wanita Utara ke luar negara


JOHARABI Muhamad menunjukkan bungkusan ikan pekasam keluaran syarikatnya.


LENGGONG 16 Ogos - Apabila disebut ikan pekasam, perkara pertama yang pasti terlintas di fikiran kita ialah ikan air tawar yang mempunyai rasa masam-masam masin dan begitu enak jika dimakan dengan nasi panas.

Jika dahulu ikan pekasam hanya popular di kalangan penduduk di utara Semenanjung, kini ia semakin mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para penggemarnya sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara.

Di Perak, terdapat beberapa pengusaha Melayu yang terlibat dalam menghasilkan produk istimewa ini dan antaranya ialah Joharabi Muhamad, 35.

Menurut Joharabi, idea untuk mengkomersialkan ikan pekasam adalah atas dorongan ibunya, Zairom Che Wok, 60.

Pada mulanya kata ibu muda ini, dia belajar membuat ikan pekasam dan menjualnya secara kecil-kecilan tetapi sambutan menggalakkan yang diterima membuatkannya nekad untuk membesarkan perniagaan tersebut.

"Idea untuk menjual ikan pekasam timbul selepas saya meluahkan rasa bosan tinggal di rumah kepada ibu. Selepas berkahwin, saya berhenti kerja di kilang dan menjadi suri rumah.

"Idea daripada ibu yang memang pandai membuat ikan pekasam akhirnya menjadi sumber pendapatan kepada saya sekeluarga kini. Alhamdulillah, ikan pekasam yang dibungkus di bawah label 'Pekasam Wanita Utara' kini sudah menembusi pasaran China, Brunei dan Indonesia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kuak di sini baru-baru ini.

Jelas Joharabi, selain digoreng garing dan dimakan dengan nasi panas, menu makanan menggunakan ikan pekasam juga boleh dipelbagaikan seperti dimakan dengan pulut dan ubi kayu rebus.

Malah katanya, ikan pekasam juga boleh dimasak gulai lemak atau dijadikan serunding yang pastinya enak dimakan bersama ketupat.

"Pekasam sebenarnya boleh dijadikan rendang seperti juga ayam dan daging. Hanya buang tulang belakang ikan dan campurkan dengan rempah ratus serunding, rasanya sangat enak," katanya.

Usaha Joharabi bertambah mudah apabila dibantu oleh suaminya, Meor Shahili Meor Hassan, 41.

Mereka memerlukan 300 kilogram ikan air tawar seperti ikan loma, sepat, lampam, puyu dan tilapia setiap hari untuk membuat pekasam.

Untuk menghasilkan ikan pekasam yang bermutu katanya, proses pertama yang perlu dilakukan ialah ikan disiang dan perutnya dibuang sebelum diletak garam dan diperam selama dua minggu.

Kemudiannya, ikan itu dibersihkan dan digaul dengan serbuk beras yang dikisar halus.

Selepas itu, ikan dimasukkan ke dalam tong besar yang ditindih dengan benda berat dan disimpan selama dua minggu lagi sebelum dibungkus.

"Sebenarnya, lagi lama ikan diperam, rasanya akan lebih enak. Ikan pekasam boleh disimpan lama kerana ia sudah diawet," katanya.

Menurut Meor Shahili pula, untuk memastikan ikan pekasam yang dibuat 'menjadi' dan mempunyai rasa yang sedap, hanya ikan-ikan segar yang dibekalkan oleh pemborong akan digunakan.

"Saya sangat menitikberatkan kebersihan dalam proses menghasilkan ikan pekasam bagi memastikan produk yang dipasarkan benar-benar berkualiti.

"Ramai yang mengatakan ikan pekasam berbau busuk kerana diperam. Saya mahu mengubah persepsi ini. Jika kita menggunakan ikan segar dan menjaga kebersihan tempat menyediakannya, ia tidak akan berbau busuk," katanya

Pekasam Wanita Utara dijual pada harga RM3.50 untuk 200 gram dan sekiranya pelanggan membeli secara pukal, mereka boleh mendapatkannya pada harga borong RM2.80 untuk 200 gram.

KEBAIKAN MENTERNAK PUYU

Puyu hapus nyamuk aedes


Gan Tian Loo (kanan) menunjukkan sebahagian daripada anak ikan puyu untuk dilepaskan ke dalam perigi bangunan rumah kedai di Jonker Walk, Melaka, semalam.


MELAKA 9 Sept. - Sebanyak 1,000 ekor anak ikan puyu akan dilepaskan secara berperingkat-peringkat di beberapa kawasan kediaman dan premis perniagaan di sekitar bandar raya Melaka bagi mengatasi pembiakan nyamuk Aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Gan Tian Loo berkata, langkah tersebut dilakukan sebagai salah satu usaha bagi membendung wabak denggi di sini.

Menurut beliau, pembelian anak-anak ikan puyu itu dibiayai oleh Jawatankuasa Jonker Walk dan ia akan melibatkan kira-kira 600 buah rumah kedai, bangunan kediaman dan rumah-rumah ibadat.

''Kawasan tersebut merupakan kawasan yang diiktiraf sebagai zon kedua Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia dan ia perlu mempunyai tahap kebersihan, keindahan dan keselamatan yang tinggi.

''Kebanyakan bangunan di kawasan berkenaan mempunyai perigi dan kita akan melepaskan ikan puyu ke dalamnya dan ia akan memakan nyamuk Aedes sekali gus menghalang pembiakan yang menjadi punca demam denggi," katanya.

Tian Loo yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk berkata demikian pada sidang akhbar selepas melepaskan 100 ikan puyu di beberapa bangunan sekitar Jonker Walk, di sini hari ini.

Menurut beliau, program yang sama pernah dianjurkan pada 2004 dan ia terbukti dapat mengurangkan kes demam denggi di kawasan tersebut.

''Berdasarkan pengalaman kita yang lalu, program sebegini terbukti dapat membanteras pembiakan nyamuk aedes dan menghindari penyakit demam denggi.

''Ia mungkin memakan masa berbanding kaedah semburan tetapi lebih berkesan kerana ikan-ikan ini akan memakan jentik-jentik sebelum ia menjadi nyamuk Aedes yang menjadi punca penyakit demam denggi," katanya.

Tambahnya, antara kawasan yang akan terlibat pada program tersebut ialah Jonker Street, Kampung Hulu, Kampung Pantai, Jalan Hang Lekiu, Jalan Hang Lekir dan Jalan Hang Kasturi.

''Saya juga berharap, program sebegini dapat menjadi contoh terutamanya kepada pihak swasta sebagai satu tanggungjawab sosialnya membantu masyarakat.

''Tanggungjawab sosial bukan semata- mata membantu dari soal kewangan tetapi juga membiayai program tertentu seperti ini yang tidak kurang pentingnya untuk menjamin keselamatan dan keselesaan hidup bersama," katanya.

Menurutnya lagi, beliau juga berharap, masyarakat dapat sama membantu dengan membela ikan puyu di dalam takungan air bersih di kawasan rumah untuk membunuh jentik-jentik sekali gus menjamin persekitaran yang selamat didiami.

REZEKI IKAN PUYU

Nilai ikan puyu kacukan


MOHD. Nizam (kiri) dan Mohd. Asri Mahadzir menunjukkan telur ikan puyu dalam tangki di Felda Jengka 12, Maran, Pahang.


MARAN 20 April - Dalam kategori ikan air tawar, puyu atau betuk tidaklah sehebat ikan patin, kelah atau temoleh dari segi 'kegilaan' kaki pancing.

Ikan yang sering ditemui di sungai dan parit itu dianggap kurang berharga dan tidak menjadi rebutan di kalangan penggemar ikan darat.

Namun tidak ramai yang tahu bahawa ikan puyu atau nama saintifiknya, Anabas Testudineus mempunyai nilai yang tinggi jika dapat diternak dalam bentuk komersial.

Ikan puyu kini semakin mendapat perhatian selepas beberapa usaha dijalankan untuk mengeluarkan hasil yang lebih bermutu.

Maka tidak hairanlah ada ikan puyu yang dijual di sini berharga sehingga RM20 sekilogram berikutan saiznya yang lebih besar selain rasa yang lebih enak selepas beberapa eksperimen dijalankan.

Semua itu dihasilkan selepas penubuhan pusat pembenihan ikan air tawar milik peneroka Felda Melor Jengka 12 di Bandar Jengka di sini sejak tiga tahun lalu.

Pusat pembenihan itu dikendali oleh Syarikat Khazanah Danau Rimba Enterprise (Khazanah Danau Rimba) yang dimiliki oleh peneroka Felda kawasan tersebut.

Pengurus Kanan Khazanah Danau Rimba, Zainal Abidin Mansor berkata, tumpuan projek lebih kepada penternakan ikan puyu kerana ternakan itu berpotensi besar untuk dikomersialkan.

Menurutnya, ikan puyu yang sering ditemui di kawasan sawah padi, parit dan sungai mempunyai keistimewaan tersendiri walaupun spesies itu seolah-olah kurang dipedulikan berbanding keli, sepat siam dan haruan.

Katanya, kebarangkalian pupusnya spesies ikan puyu mendorongnya menubuhkan sebuah syarikat pembenihan bagi menghasilkan benih ikan puyu secara komersial di samping menganjurkan kursus jangka pendek menternak ikan itu.

''Felda menyediakan sebuah bangunan di kawasan seluas kira-kira tiga hektar di Felda Melor Jengka 12 untuk menjayakan projek penternakan dan pembenihan ikan puyu malah dijadikan lokasi tempat berkursus kepada peserta,'' katanya.

Zainal Abidin memberitahu, bangunan yang mampu menempatkan 40 peserta itu turut dilengkapi pejabat pentadbiran, bilik kursus, asrama, tangki pelbagai saiz sebagai peralatan utama ternakan ikan puyu.

Menurutnya, setiap kali kursus dianjurkan, sambutan amat menggalakkan apabila para peserta bukan sahaja datang dari Pahang tetapi juga dari luar termasuk Singapura.

Beliau menambah, teknologi kacukan baka ikan puyu Thailand dengan spesies ikan puyu tempatan yang dihasilkan Khazanah Danau Rimba berjaya menghasilkan baka ikan puyu bersaiz besar.

Katanya, penghasilan ikan puyu bersaiz besar itu secara langsung membuka mata masyarakat terhadap potensi ikan itu boleh dikomersialkan apatah lagi rasa ikan itu lebih enak untuk dimasak dengan pelbagai resipi.

''Berdasarkan kepada permintaan tinggi pasaran tempatan bermakna bidang penternakan ikan puyu kacukan boleh dikomersial untuk pasaran luar negara seperti Singapura,'' katanya.

Menurutnya, ikan puyu kacukan amat berkhasiat di samping mudah dipelihara, tahan lasak dan kurang risiko untuk mati sekali gus memudahkan proses penjagaan ternakan itu.

Tambah beliau, Khazanah Danau Rimba bukan sahaja menawarkan ikan puyu segar dewasa malah turut menyediakan benih-benih ikan puyu untuk diusahakan oleh penternak persendirian.

Sehubungan itu, tambah beliau, golongan belia harus merebut peluang untuk mengusahakan ternakan ikan puyu kerana projek tersebut mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

Eksekutif Kanan Khazanah Danau Rimba, Mohd. Nizam Mahadzir pula berkata, projek ternakan ikan puyu secara terancang itu mampu melonjakkan harganya iaitu antara RM17 hingga RM20 sekilogram di pasaran.

Katanya, misi Khazanah Danau Rimba untuk membantu pengusaha di kalangan warga Felda termasuk generasi baru, ibu tunggal, persatuan belia atau individu melaksanakan projek ini lebih serius.

''Bagi tujuan itu, Khazanah Danau Rimba melakukan roadshow, taklimat pembenihan dan menternak ikan puyu serta kursus mempelbagaikan produk untuk bersaing dalam pasaran global,'' katanya yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor.

Mohd. Nizam menegaskan, objektif kursus bertujuan mempromosi ikan puyu kacukan ke pasaran tempatan dan antarabangsa sekali gus menjana pendapatan pengusaha.

Menurut beliau, menternak ikan puyu kacukan dalam tangki amat mudah dikendalikan oleh individu yang berminat untuk menambah pendapatan dengan hanya memanfaatkan persekitaran kawasan kediaman.

Tambah beliau, usaha berterusan dilakukan bagi mempromosi ikan puyu kacukan di kalangan penduduk luar bandar di samping mewujudkan rangkaian perniagaan berasaskan produk ikan itu.

''Kami komited memantau perkembangan projek ternakan ikan puyu yang dikendalikan peserta kursus termasuk memberikan khidmat nasihat dan kepakaran bagi menjamin projek itu berjaya,'' katanya.

Pembantu Kanan Khazanah Danau Rimba, Mohd. Asri Mahadzir optimis projek ternakan ikan puyu kacukan dalam tangki boleh diusahakan secara serius oleh peneroka dan pekebun kecil sebagai pendapatan tambahan.

Katanya, keyakinan itu tercetus berikutan permintaan ikan segar air tawar itu terus mendapat permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa berbanding bekalan yang ditawarkan terhad.

Tambah beliau, ikan puyu jika diternak dalam bilangan yang banyak boleh menjamin pendapatan yang lumayan kepada pengusaha.

Dengan menggunakan teknologi pembenihan canggih, jelasnya, ikan puyu yang diternak dalam bilangan banyak boleh dijual di pasaran dalam tempoh empat bulan berbanding ikan air tawar lain.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memberitahu, pihaknya berusaha mengkomersialkan ternakan ikan ketutu atau ikan ubi yang turut mendapat permintaan tinggi di kalangan masyarakat Cina.

Sementara itu, seorang peserta, Nelson Ku, 35, dari Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru, Johor, amat teruja apabila mengikuti kursus menternak dan pembenihan ikan air tawar itu.

''Saya sanggup bermotosikal dari Johor Bahru semata-mata untuk menambah pengetahuan mengenai ternakan ikan air tawar terutama puyu mengikut teknik yang betul,'' katanya.

Menurutnya, kursus dua hari yang dikendalikan pakar dalam bidang itu banyak memberi maklumat berguna untuk projek secara komersial dan berskala besar.

Seorang lagi peserta, Noraini Mahadzir, 22, dari Felda Melor Jengka 12 beruntung apabila mengikuti kursus menternak dan pembiakan benih ikan air tawar itu kerana menerima banyak maklumat daripada golongan pakar dalam bidang itu.

Para peserta, katanya, berpeluang mencuba melakukan proses pembenihan ikan puyu dan mengeluarkan telur ikan keli untuk dikacuk serta melihat peringkat pembesaran ikan dalam tangki.

''Projek ternakan ikan puyu dalam tangki ini boleh dilakukan sesiapa sahaja asalkan mempunyai kemahuan dan minat untuk mengkomersialkan bagi menambah pendapatan sambil mengurangkan belanja dapur,'' katanya.

Tambahnya, pasaran ikan puyu adalah meluas kerana di Jengka sahaja terdapat banyak pekan sehari yang beroperasi di setiap tanah rancangan Felda yang mempunyai lebih 100,000 peneroka yang mempunyai kuasa beli yang tinggi.

HUBUNGI KAMI DI


Adi-email
adieyothman@gmail.com
H/P:012 432 4577
kami di kedah/penang

masukkan email anda untuk "new update"

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner